Tuesday, December 8, 2009

Bolehkah kita berubah?

Petikan dari Penulisan DATO' SALLEH MAJID, bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
07/11/2009


KITA kini berdepan dengan persekitaran dunia yang pesat berubah. Dalam tempoh 10 tahun, Malaysia dijangka menjadi negara perindustrian. Negara akan beralih kepada Model Ekonomi Baru.


Ada dua perkara penting yang perlu ada di kalangan mereka yang mahu berubah. Pertama, ilmu dan kedua ialah motivasi atau semangat ingin berjaya. Kedua-dua ini perlu berjalan seiring.

Siapakah yang boleh berubah?

Golongan Pertama - Mengikut ahli psikologi tentang tabiat manusia, mereka yang sanggup berubah atau pemimpin dalam perubahan hanyalah sekitar dua setengah peratus daripada seluruh penduduk. Mereka ini dianggap golongan pembawa pembaharuan (innovators),

Golongan Kedua - adalah golongan pengamal awalan (early adopters) sebanyak 13.5 peratus. Mereka ini terkebelakang sedikit daripada pembawa pembaharuan dan terpengaruh dengan golongan pertama ini.


Golongan ketiga dikenali dengan nama majoriti awal (34 peratus). Lazimnya hanya pengikut sahaja


Golongan Keempat - juga dikenali dengan golongan majoriti akhir juga 34 peratus yang terakhir mengamalkan sesuatu perubahan.


Akhir sekali golongan ketinggalan (laggard) sebanyak 16 peratus - yang tidak mahu berubah.


Setiap dinamik kumpulan mempunyai ketuanya tetapi tidak semestinya memiliki jawatan rasmi. Ketua tidak rasmi ini penting kerana dia berpengaruh dan wajar dikenal pasti. Kalau ada yang bersikap negatif wajar diberikan bimbingan. Ketua kumpulan inilah yang boleh membawa perubahan baik dari segi pemikiran mahupun perlakuan.

Berbalik kepada soalan awal bolehkah orang Melayu berubah. Jawapannya ada yang boleh dan ada yang tidak.

Golongan yang sudah berubah telah menunjukkan bahawa ada antara kita boleh dimasukkan dalam kumpulan syarikat Fortune 500. Mereka yang sudah berubah, sudah mampu mengeksport ikan kelisa keluar negara atau menanam anggur di tanah terbiar, atau menarik ramai pelancong ke homestay mereka. Kumpulan ini mungkin mewakili 16 peratus yang menggabungkan golongan pembawa pembaharuan dan pengamal awalan di atas. Tetapi untuk melakukan suatu perubahan yang lebih kekal, golongan 68 peratus itulah yang penting ikut sama.


Persekitaran menjelang 2020 ini akan lebih mencabar dari segi ekonomi, teknologi, politik, perundangan, kemasyarakatan dan budaya. Sekarang pun banyak perkara berkaitan orang Melayu pun sedang dicabar dan suatu gelombang perubahan diperlukan.